Saturday, October 8, 2011

PTDJ memaparkan konflik nilai

Salam untuk semua

Dalam  post  kali ini Cg ingin membincangkan secara ringkas satu persoalan yang ditimbulkan  oleh penulis melalui prosa tradisional 'Pertarungan Tuah Dengan Jebat'.  Persoalan ini Cg rasa berkisar pada isu nilai. Nilai boleh membawa maksud pegangan hidup atau tindakan yang baik yang boleh dijadikan teladan.

Pahlawan Melayu
Membaca karya tentang Hang Tuah dan Hang Jebat selalu membawa kita kepada persoalan penting ini. Mengapakah kedua-dua hulubalang besar Melaka ini bertarung sedangkan perhubungan mereka begitu rapat ibarat perhubungan saudara?

Cg berpendapat nilai yang dipegang oleh kedua-dua hulubalang besar inilah yang menjadi salah satu penyebab mengapa pertarungan itu berlaku. Bahasa mudahnya mereka tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh masing-masing dalam menegakkan satu pendirian.

Perbezaan nilai yang dipegang oleh  Hang Tuah dan Hang Jebat jelas terlihat pada sikap dan tindakan mereka.

1.  Laksamana menjunjung tinggi  soal kesetiaan kepada raja sedangkan Jebat mengambil sikap yang bertentangan.  Jebat menentang kezaliman dan ketidakadilan raja. Namun tindakannya ini dianggap sebagai satu penderhakaan.  "Hai, Si Jebat derhaka. Tiadakah setiamu pada tuanmu? Walaupun Jebat menentang raja kerana membela Tuah namun pada Laksamana, Jebat tetap bersalah. "Sayang engkau berdosa. Jika lain daripada dosa ini, tiada engkau mati, barang tipu dayaku pun keperlepasakan engkau juga daripada mati."


2.  Jebat sanggup membunuh orang yang tidak berdosa dalam menegakkan pendiriannya.  Bila dia dicabar oleh Tuah untuk bertikam dia meminta masa untuk melangirkan kerisnya. Rupa-rupanya Jebat berlangir keris dengan menumpahkan darah 700 orang perempuan yang ada dalam istana! Tiada satu orang pun yang tinggal sehingga darah turun seperti hujan ke bawah istana. Tuah membantah kezaliman ini. Bantahan ini tidak diendahkan oleh Jebat. Malah dia berkata "Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti perumpamaan Melayu, rosak bawang ditimpa jambaknya."


3.  Laksamana sangat berpegang pada suruhan memikirkan dahulu sesuatu perkara sebelum bertindak. Menurutnya "...tetapi akan kita diperhamba raja ini hendaklah pada barang sesuatu pekerjaan itu bicarakan sangat-sangat seperti kata orang-tua. Baik mati dengan nama yang baik, jangan hidup dengan nama yang jahat, supaya masuk syurga jemah." Pegangan ini dibenarkan juga oleh Jebat yang pada masa yang sama melafazkan ketidakupayaannya melawan takdir. Pada Jebat dia sudah ditakdirkan untuk mati dengan nama yang jahat!


4.  Jebat mahu mencari kemasyhuran melalui perbuatan jahatnya. Menyedari bahawa dia akan mati di tangan Tuah dia meminta Tuah supaya berundur daripada pintu istana. Dia mahu turun dan mengamuk. Menurut pandangannya, "Ädapun jika aku bertikan dengan laksamana sama seorang  di istana ini, jika aku mati seorang pun tiada berbela dan namaku pun tiada masyhur. Jika demikian baiklah aku turun mengamuk supaya banyak berlaku.''  Tuah menghalang niat ini dengan bertikam 'tiada jauh daripada pintu itu'.


Tuah berjaya merebut kembali keris pemberian Betara Majapahit daripada Jebat. Dan tatkala keris Hang Jebat 'sebagai lekat pada talam' Hang Tuah menikam dada Hang Jebat. Dalam pertarungan ini Laksamana Tuah berjaya menewaskan Hang Jebat.

Pada Cg Hang Jebat tewas kerana dia berjuang dengan berpandukan nilai yang salah - nilai yang sangat bertentangan dengan nilai murni  atau nilai kemanusiaan.




Imej dari
1.  islamsinar.wordpress.com
2.  pahlawan-pahlawanmelayu.blogspot.com


Thursday, October 6, 2011

Ketika Kami Bercerita Tentangnya

... dan tidak lupa salam untuk semua

Membaca sajak tentang ayah dan ibu selalu menimbulkan semacam kesayuan dalam diri Cg. Maklum-maklum sajalah. Orang tua golongan yang sebaya dengan Cg  kebanyakannya sudah berpulang ke rahmatullah. Jadi kalau ada sajak yang mengungkapkan kasih kepada orang tua, Cg terkesan juga. Hm ... Cg emosi sikit ni...

Semalam Cg membaca sajak yang ditulis oleh penyair Lim Swee Tin dan terasa benar rasa kasih penyair terhadap bapanya. Cg rasa sajak 'Ketika Kami Bercerita Tentangnya' merupakan pernyataan kasih seorang anak kepada seorang bapa yang penyayang.

Mengapa Cg berpendapat sedemikian? Jawapannya Cg rasa terdapat daripada penceritaan penyair tentang bapanya. Bapa penyair begitu bererti, begitu istimewa di dalam kehidupan penyair dan adik beradiknya.

Terdapat beberapa perkara yang ditimbulkan oleh penyair tentang bapanya yang membawa Cg kepada kesimpulan yang sedemikian. Di antaranya ialah:

1.  Penyair begitu mengenali keadaan  bapanya sehingga dia kenal 'lelap pada matanya'. Penyair dan adik beradiknya yang ketika itu bercerita tentang bapa mereka rasa cukup terharu apabila melihat bapa mereka tidur. Bapa mereka tidur dengan begitu nyenyak sekali. Pada penyair tidur bapa mereka mungkin dilenakan lagi oleh 'tikar mengkuang lusuh' yang menjadi tempat tidurnya.

2.  Bapa penyair seperti selalu menemani anak-anaknya sebelum tidur. Dia mengisikan sebahagian malam dengan memenuhi keperluan anak-anaknya. Dengan disinari cahaya pelita minyak tanah, bapa mereka bercerita - tentang 'laut sejarahnya'. Dari cerita ini mereka mengenali 'pahit dan getir pengalamannya'. Dan dari perkongsian yang menimbulkan pengertian ini terbentuk suatu perhubungan erat antara bapa penyair dengan anak-anaknya.

3.  Penyair dan adik-beradinya tidak pernah menyoalkan tentang kemiskinan yang mewarnai kehidupan mereka. Mereka juga tidak pernah mengungkit sejarah kehidupan bapa mereka yang dipenuhi dengan kemiskinan dan serba kekurangan. Nampaknya penyair begitu memahami bahawa kehidupan seseorang itu sebahagian besar ditentukan oleh Takdir. Manusia  'tertakluk kepada ketentuan yang digenggam'. Kesediaan untuk memahami hakikat ini menimbulkan kasih sayang yang cukup mendamaikan terhadap bapa mereka.

4.  Mereka amat menyedari bahawa kesejahteraan mereka selalu berada dalam fikiran bapa mereka. Bapa penyair tidak pernah lupa mendoakan kebaikan untuk anak-anaknya. Dan dengan penuh pengharapan dia memohon agar anak-anaknya tidak menghadapi 'gelombang' hidup yang hebat. Dia begitu berharap agar kehidupan anak-anaknya lebih baik dan lebih cerah daripada kehidupan yang terpaksa dilaluinya.

Apakah nada sajak ini?


Sajak ini mempunyai nada melankolik. Kesayuan dan kesedihan yang dirasai oleh penyair bila bercerita tentang bapanya dapat dirasakan oleh pembaca. Penyair menggambarkan kemiskinan yang mewarnai kehidupan mereka dengan begitu jelas sekali. Contohnya 'tikar mengkuang lusush' dan 'duduk mengelilingi pelita minyak tanah'.


Melalui pemilihan/penggunaan perkataan yang sarat dengan makna penyair juga berjaya menggambarkan 'laut sejarah' bapanya. Sejarah hidup bapa mereka  penuh dengan dugaan dan cabaran. Contohnya 'semacam pahit dan geitr pengalamannya'.


Akhir kata pada Cg sajak ini merupakan ungkapan kasih seorang penyair  buat bapa tercinta!


Tuesday, September 13, 2011

Satira bernama 'Jalan Sempit'

Salam mesra kepada semua yang membaca post ini.
Jalan sempit
Kali ini Cg nak sentuh tentang unsur kesusasteraan yang dipanggil satira dan kemudian cuba mengaitkannya dengan drama 'Jalan Sempit'.

Satira menurut Glosari Istilah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ialah satu unsur kesusasteraan yang menggabungkan sikap yang kritis dengan humor dan wit. Melalui gabungan unsur-unsur ini, penulis cuba menyindir manusia tertentu atau institusi kemanusiaan.

Manusia yang ditegur boleh ditampilkan 'dalam watak serius yang berupa kecaman, watak bodoh yang berupa ejekan atau watak jenaka yang berupa kelucuan.'

Satira terlihat dalam pelbagai genre kesusasteraan. Unsur ini boleh terlihat dalam cerpen, novel, drama, filem atau lukisan karikatur. Cg rasa kita perlu juga bertanya kenapa penulis menggunakan unsur satira dalam karya mereka? Jawapannya mungkin penulis ingin menegur tindakan seorang tokoh atau sekelompok tokoh namun pada masa yang sama dia juga tidak mahu menjatuhkan maruah orang-orang berkenaan.

Sawah padi

Jadi kelompok manusia yang manakah yang ingin ditegur oleh penulis lewat drama 'Jalan Sempit' ? Rasa-rasa Cg ada empat golongan yang menjadi sasaran sindiran.

1. Golongan pertama ialah golongan  pemimpin yang diwakili oleh Tuk Penghulu. Sebagai pemimpin beliau kelihatannya agak santai. Beliau tidak tahu perkembangan yang terbaru yang berlaku di kampungnya. Justeru itu  tidak tahu impak perkembangan baru terhadap orang-orang kampung.

Kawasan di sebelah kiri jalan sempit sudah dibeli orang dan kini sudah dipagar. Jalan sempit yang sebenarnya perbatasan sawah yang menjadi laluan keluar-masuk orang kampung kini bertambah sempit - hanya selebar dua kaki sahaja. Jalan ini strategik - menghubungkan kampung dengan deretan kedai di Simpang Tiga.  Dan laluan ini  digunakan oleh semua orang kampung. Jadi agak aneh apabila penghulu kampung tidak tahu perkembangan yang terbaru!

Tuk Penghulu menjelaskan bahawa rumah-rumah di kampung tersebut berselerak dan terbina di atas tanah-tanah sendiri jadi agak sukar untuk membina jalan perhubungan. Jadi bagaimana Tuk penghulu menangani masalah tersebut?  Adakan perbincangan dengan orang-orang yang terlibat. Bincangkan jalan keluarnya. Bila masalah jalan sempit bertemu jalan buntu bawa masalah kepada wakil rakyat.

2. Golongan kedua adalah orang-orang kampung sendiri. Mereka tidak melihat peri pentingnya mempunyai jalan perhubungan yang  rasmi. Mereka berasa puas dengan adanya jalan sempit yang sebenarnya merupakan batas petak tanah sawah Lebai Dahaman. Bila jalan sempit bertambah sempit Mak Joyah dan Dollah saling tuduh-menuduh. Mak Joyah tuduh Dollah menghambatnya dengan motosikal dari belakang di jalan sempit. Munirah pula menuduh Husin Ikan Baja sengaja menjatuhkan dirinya di jalan sempit lalu memegang kaki Munirah. Masalah tiada jalan perhubungan yang rasmi hanya terlihat bila jalan sempit bertambah sempit.

3. Golongan ketiga yang disindir ialah golongan pedagang. Ah Chong dan Murali adalah pedagang yang masuk kampung kerana tujuan berdagang. Murali masuk kampung dengan tong roti yang besar kerana dia menjual roti kepada penduduk kampung. Ah Chong masuk kampung dengan raga yang besar kerana dia membeli ayam, itik dan telur-telur dari penduduk kampung. Jadi bila tong roti yang besar bertembung dengan raga ayam yang besar di jalan sempit, kedua-dua pedagang itu terjatuh. Roti-roti Murali menjadi kembang kerana terpelanting ke dalam sawah dan ayam itik Ah Chong habis terlepas kerana raga terjatuh. Mereka saling menuntut ganti rugi walhal kedua-duanya tidak mahu mengalah waktu berada di jalan sempit!

4. Golongan keempat diwakili orang-orang yang suka mereka-reka cerita. Mereka bersembang di kedai kopi tentang tanah yang sudah berpagar. Kemudian menokok-tambah perkembangan yang baru dengan cerita yang belum pasti kebenarannya. Mereka menyebarkan cerita bahawa pemilik baru akan membina kilang di kawasan yang sudah berpagar. Desas desus begini menimbulkan kebimbangan. Lebai Dahaman mendengar berita hangat itu terus pergi ke rumah Tuk Penghulu untuk mencari penjelasan. Yang lucunya,  Tuk Penghulu bukan saja tidak melenyapkan kebimbangan malah mencetuskan satu lagi kebimbangan bila dia mengatakan "Yang membimbangkan saya sekiranya kawasan yang berpagar itu dijadikan tempat hiburan. Kelab malam, misalnya." Pemimpin yang dirujuk juga membuat andaiannya sendiri!
 
 
Drama 'Jalan Sempit' pada pandangan Cg memang boleh dianggap sebagai sebuah satira kerana Cg rasa penulis berhasil memaparkan kebodohan dan kelucuan sekelompok manusia bila berhadapan dengan satu masalah penting.  Kritikannya bernas namun wahana yang digunakan untuk menyampaikannya cukup lunak dan bersahaja.


Apa pula pandangan para pelajar yang sudah membaca drama ini?



Rujukan:
1. Melayu dahulu bijak menyindir, BM, 22.2.1999
2. Foto dari Google

Monday, July 25, 2011

Mari Berbahasa Sebaiknya

Salam mesra buat semua.

Dalam post kali ini Cg nak sembang-sembang tentang sajak pula. Cg cukup tertarik dengan sajak 'Bahasa' tulisan Rahman Shaari. Lewat sajak ini penyair mengangkat isu bahasa dan peranannya di dalam kehidupan manusia. Pada Cg sajak 'Bahasa' ini merupakan luahan perasaan dan pendirian penyair terhadap isu bahasa.

Penyair mengimbau pembaca supaya menilai peranan bahasa di dalam kehidupan manusia. Bahasa bukan sahaja menjadi pengatur fikiran, pelentur perasaan, penyuluh ilmu pengetahuan tetapi ia juga berupaya untuk menyatukan manusia dalam satu kesatuan. Oleh kerana keupayaannya untuk memainkan pelbagai peranan maka kita harus 'berbahasa sebaiknya'.

Di antara peranan bahasa adalah menjadi:

1.  Pengatur pucuk fikiran yang bertabur
Manusia adalah makhluk yang berakal. Dengan akal dia berfirkir. Bermacam-macam idea atau 'pucuk fikiran' yang akan bercambah atau singgah di benak kepalanya. Idea-idea yang berlegar di alam pemikirannya akan dicerna untuk kemudian diungkapkannya. Bagaimanakah dia menyatakan idea-idea tersebut? Sudah tentu dengan bahasa dan dengan cara yang sudah ditetapkan. Beradab dan berbudaya.


Pucuk yang bercambah segar
2.   Pelentur ranting perasaan yang bersiur
Manusia memiliki perasaan. Di samping akal, perasaan juga menjadi pendorong yang kuat kepada segala tindak-tanduknya. Manusia boleh berada dalam keadaan yang tenang dan ketenangan ini akan tergambar dalam segala tindakannya. Dia juga boleh terperangkap dalam keadaan yang tidak mententeramkan atau  'ranting perasaan yang bersiur' dan keresahan ini boleh juga terlihat pada tindakannya yang mampu mengharu-birukan.

Ranting yang bersimpang-siur

3.   Penyuluh ilmu pengetahuan
Bahasa membolehkan manusia untuk mengenali ilmu. Ilmu berada di mana sahaja. Tetapi bahasa merupakan kuncinya. Lewat bahasa kita meneroka dan mendalami ilmu. Menurut penyair hanya "dengan bahasa terlihat fakta padu, terlihat sinar ilmu, terlihat cinta biru."

Biru pada langit yang merentang luas

4.  Penentu arah dalam pentas siasah
Manusia hidup dengan aspirasi tertentu. Di dalam sesuatu masyarakat aspirasi ini pada umumnya akan diarahkan oleh golongan pemimpin. Pemimpin bergiat di pentas politik dan arah negara akan terungkap di dalam agenda perjuangan mereka. Dengan kata lain pemimpin 'memaparkan arah'.

5.  Pembentuk budi yang tinggi
Melalui bahasa manusia membina budi. Budi yang mencakupi pekerti, akhlak dan kebijaksanaan berupaya mewarnai sesuatu budaya. Oleh itu membina  budi yang tinggi harus menjadi keutamaan dan ini tidak dapat dipisahkan dengan menggunakan bahasa dengan sebaiknya.

Bagaimana pula dengan kekuatan bahasa dalam sajak 'Bahasa'?

Pada Cg satu unsur bahasa yang digunakan penyair dengan berkesan ialah unsur metafora. Metafora seperti 'pucuk fikiran', 'ranting perasaan' dan 'cinta biru' bukan sahaja mengindahkan sajak ini tetapi memberi sajak ini beberapa lapisan makna. Pada Cg di situlah terletaknya kekuatan bahasa sajak 'Bahasa'. Bagaimana pula pandangan pelajar semua?


Monday, July 4, 2011

Peminangan Puteri Gunung Ledang

Salam mesra kepada semua.

Kita bersembang lagi lewat blog ini. Apa kata, kalau kali ini kita kaji prosa tradisional 'Peminangan Puteri Gunung Ledang'.

Pada Cg prosa ini menceritakan tentang keinginan Sultan Mahmud untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Sejak kemangkatan bonda Raja Ahmad, permaisuri Sultan Mahmud, negeri Melaka tidak beraja perempuan. Maka Sultan Mahmud pun meminta pandangan pembesar-pembesar negeri tentang keadaan ini.

Pembesar-pembesar bertanya anak raja manakah yang diinginkan oleh sultan kerana mereka akan segera melaksanakan peminangan tersebut. Sultan Mahmud berkata baginda tidak mahu beristeri dengan anak raja kerana raja-raja lain pun beristeri dengan anak-anak raja juga. Yang baginda mahu adalah yang tidak ada pada raja-raja lain. Dalam hal ini baginda mahu memperisterikan Puteri Gunung Ledang.

Keinginan Sultan Mahmud ini secara tidak langsung menggambarkan perwatakannya. Baginda mahu sesuatu yang tidak ada pada raja-raja lain dan keinginan ini baginda ungkapkan  tanpa mengira kewajarannya.

Mengapa Cg timbulkan soal kewajaran?  Ya .. kerana kita perlu tahu ...

Siapakah Puteri Gunung Ledang dan apakah yang membezakannya daripada anak-anak raja yang lain? 

Puteri Gunung Ledang memang berbeza daripada anak-anak raja yang lain. Yang pertama puteri ini tinggal di puncak Gunung Ledang bersama Dang Raya Rani, pengetua PGL serta perempuan-perempuan yang lain. Mereka menghuni taman yang indah di puncak gunung, suatu tempat yang sukar dilawati manusia.  Mereka boleh memperlihatkan atau melenyapkan diri mereka dari pandangan manusia biasa. PGL dikatakan menyerupai perempuan tua yang bongkok tiga tatkala bertemu dengan Tun Mamat. Dan dengan Tun Mamatlah PGL menyampaikan kehendak-kehendaknya sebelum keinginan Sultan Mahmud dikabulkan.

Apakah yang dialami oleh Tun Mamat, Laksamana dan Sang Setia tatkala melaksanakan titah sultan untuk meminang PGL?

Pembesar-pembesar ini mendapati pendakian ke puncak Gunung Ledang terlalu sukar. Angin bertiup terlalu keras dan setelah sampai ke pertengahan gunung, mereka tidak berupaya lagi untuk meneruskan pendakian.

Tun Mamat memilih dua orang yang pantas berjalan untuk meneruskan perjalanan. Bila mereka tiba di had buluh perindu, mereka terasa seolah-olah mereka diterbangkan oleh angin yang amat keras. Dan mereka dibawa ke tempat yang tinggi sehingga 'awan pun  dapat dicapai lakunya'.

Tun Mamat bertemu dengan taman yang indah lalu memasuki taman itu. Di sana Tun Mamat menyaksikan keindahan dan keajaiban seperti
  • pelbagai rupa jambangan dan buah-buahan
  • burung-burung yang membuat pelbagai bunyi-bunyian seperti orang bersiul, berbangsi (meniup seruling), bersyair, berbait, berseloka dan bergurindam
Tun Mamat melihat sebuah balai yang perkakasnya terbuat dari tulang serta atapnya terbuat dari rambut. Di dalam balai ini kelihatan seorang perempuan tua yang sedang menyampai (sidai) kain pendukung. Perempuan tua yang baik rupa ini dihadapi  oleh empat perempuan muda.  Kepada perempuan tua yang bernama Dang Raya Rani inilah Tun Mamat menyampaikan hajat sultan Melaka.

Dang Raya Rani serta keempat perempuan muda itu lenyap dari pandangan dan sesaat kemudian kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga. Perempuan tua ini menyampaikan kehendak-kehendak PGL dan akhirnya berkata, "Jikalau boleh demikian, kabullah tuan puteri akan kehendak Raja Melaka itu."

Akhir kata, boleh tak kita buat rumusan bahawa syarat-syarat itu sebenarnya merupakan satu isyarat jelas bahawa peminangan sultan Melaka tidak diterima oleh PGL?


Gunung Ledang



 Foto dan peta dari:
1.  Johor National Park Corporation
2.  http://en.wikipedia.org

Friday, July 1, 2011

Nak beri markah ke tidak?

Salam kepada semua yang mengikuti Sembang Sastera

Dalam dunia pendidikan, mengajar dan menilai jawapan yang diberikan oleh pelajar bak menghayati 'irama dan lagu' dalam sebuah nyanyian. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya berjalan seiring.

Pada guru jawapan pelajar merupakan:
  • maklum balas sama ada pelajar memahami apa yang telah diajar atau
  • isyarat supaya guru menukar kaedah mengajar
Pada pelajar pula, jawapan berkait rapat dengan markah. Dan markah pula berkait rapat dengan kebolehan. Mereka boleh mendapat markah yang menggembirakan, markah yang memuaskan atau markah yang menyedihkan. Markah itu begitu penting kepada sebahagian besar pelajar sehingga ia boleh menjejas 'mood' untuk belajar sepanjang hari.

Cg  juga menjalankan tugas ini sewaktu menjadi guru dulu. Menilai latihan pelajar membawa banyak kenangan. Dalam memeriksa atau menilai jawapan pelajar, Cg bertemu dengan bermacam-macam jenis jawapan.  Ada jawapan yang menggembirakan, ada jawapan yang membingungkan dan ada jawapan yang menghiburkan.

Jawapan yang tepat, lengkap dengan contoh-contoh yang relevan serta disampaikan dengan bahasa yang baik cukup menggembirakan hati  Cg. Dan markah yang  Cg berikan pasti menyenangkan pelajar sedemikian. Ada jawapan yang boleh tahan tapi kurang 'oomphnya'. Tidak 'cemplang' sangat tapi agak kurang 'bumbu'. Dan ada jawapan yang membingungkan sehingga Cg 'garuk kepala' dan bertanya. "Eh... aku ada ajar ini ke?" Terpaksa rujuk semula kepada teks untuk mempastikan kesahihan fakta. Sah. Tak ada pun!
Ternyata sang pelajar membuat jawapan kreatif. Kadang-kadang lucu sekali. 'Kelakar rabak' kata generasi sekarang. Heh...heh...kalau jawapan begini yang diterima guru tentulah markahnya menyayat hati. Menyayat hati pelajarlah. Fakta atau contoh mesti datang dari teks dan bukan rekaan sendiri. Bukan guru tak ada rasa simpati atau empati tapi kalau dibiarkan boleh menjejas prestasi! Dan siapa yang rugi? Alahai.

Berikut adalah peringatan yang pernah Cg berikan kepada pelajar. "Bacalah soalan dengan teliti dan kemudian jawab mengikut kehendak soalan. Kalau kita tidak memahami kehendak soalan macam mana kita nak beri jawapan yang betul?" Ia ... tak? Jawapan dan soalan 'tak ngam!'

Panduan umum menjawab soalan boleh berbentuk begini.
  • Berikan fakta atau kenyataan yang relevan kepada soalan
  • Buat huraian yang menjelaskan lagi fakta
  • Berikan contoh-contoh yang sesuai

Berikut adalah satu contoh bagaimana Cg menjawab soalan. Tetapi pelajar perlu ingat bahawa ini cara Cg menjawab soalan. Mungkin para pelajar dengan panduan guru di kelas akan menggunakan pendekatan yang lain dalam menjawab soalan. Dalam hal ini ikutlah bimbingan cikgu-cikgu para pelajar.

SOALAN

Drama 'Jalan Sempit' mengisahkan kejadian-kejadian yang berlaku di jalan yang sempit. Nyatakan cadangan-cadangan yang diberikan oleh penduduk kampung untuk mengelakkan kejadian yang serupa daripada berlaku. (6 markah)

Penduduk kampung telah membuat beberapa cadangan untuk mengelakkan kejadian yang serupa daripada berlaku.

Dolah menyarankan agar jalan sempit itu dilebarkan. Oleh kerana bahagian kiri jalan sudah berpagar, maka mereka perlu berunding dengan Lebai Dahaman yang sawah padinya terletak di bahagian kanan jalan sempit. Meluaskan jalan bererti memasuki sawah Lebai Dahaman. Jadi mereka perlu meminta jasa baik Lebai Dahaman. Di samping itu mereka perlu mengumpulkan duit untuk membayar ganti rugi tanah sawah Lebai Dahaman yang terambil dalam pembesaran jalan.

Munirah pula mencadangkan agar jalan sempit itu dijadikan jalan sehala dan lampu isyarat diletakkan di kedua-dua hujung jalan. Cadangan itu mendapat sokongan dari Kamal kerana itu boleh mengelakkan pelanggaran daripada berlaku. Orang yang berada di hujung jalan yang lampu hijaunya menyala bolehlah jalan sementara orang yang berada di hujung jalan yang lampu merahnya menyala terpaksalah menunggu.

Jawapan ini sekadar contoh sahaja. Kesimpulannya, jawablah soalan dengan penuh kebijaksanaan. Jawapan yang berjaya merangkai fakta yang tepat dengan huraian yang jelas serta contoh-contoh yang relevan pasti memenuhi kehendak soalan. Dan bila itu berlaku tentulah pemarkah tidak akan bertanya "Nak beri markah ke tidak?" kerana memberi markah yang baik bukan lagi menjadi persoalannya.



Friday, June 24, 2011

Patung Kencana Dari Kuripan

Salam semuanya.

Seperti yang dijanjikan Cg  akan memberikan  'imput' terlebih dahulu tentang  prosa tradisional 'Patung Kencana Dari Kuripan'.

Setelah membaca prosa ini dapatkah kita mengenal pasti persoalan-peroalan penting yang menggerakkan cerita ini? Cg rasa kita dapat mengesaninya. Kita tidak akan tersasar jauh jika kita kata bahawa ada tiga persoalan yang mendasari prosa ini. Persoalan-persoalannya adalah:
  • Hubungan baik antara negeri Kuripan dan Daha melalui hubungan baik ratu-ratunya.
  • Kasih sayang dan rasa simpati Ratu Kuripan terhadap Galuh Cendera Kirana yang tinggal sendiri, tiada beribu kerana ibunya, permaisuri Ratu Daha mati keracunan
  • Kebijaksanaan putera Ratu Kuripan dalam memastikan patung kencana yang istimewa sampai ke tangan tunangannya, GCK, anak Ratu Daha.
Soalan selanjutnya ialah yang mana satu akan kita pilih sebagai persoalan pokok atau tema? Oh, ya ... sekadar peringatan saja,  tema itu mencakupi satu persoalan penting sahaja. Dan persoalan yang kita pilih itu haruslah kita huraikan dengan jelas.

Berbalik kepada prosa PKDK, Cg fikir persoalan yang pertamalah yang menjadi temanya kerana hal ini membolehkan rentetan peristiwa yang lain berlaku.

Jadi kalau persoalan utama ialah hubungan baik antara Kuripan dan Daha, maka bagaimana kita meluaskan tema ini. Mudah saja ... pembacaan dan pemahaman kita akan membantu kita dalam memberi huraian yang jelas. Sebagai contoh sahaja, kita boleh meluaskan tema begini

PKDK mengangkat tema perhubungan baik antara negeri Kuripan dan Daha. Perhubungan ini dieratkan lagi dengan pertunangan di antara putera Ratu Kuripan, Raden Inu Kertapati dengan puteri Ratu Daha, Galuh Cendera Kirana. Permaisuri Ratu Daha mati akibat keracunan namun sebab kematiannya tidak difikirkan oleh Ratu Daha yang nampaknya semakin tunduk di bawah perintah Paduka Liku, isteri mudanya. Ratu Kuripan menunjukkan keprihatinannya lalu memerintahkan agar patung kencana atau anak-anakan dari emas dikirimkan kepada GCK. Utusan dihantar ke Daha dan utusan ini disambut baik oleh Ratu Daha. Mereka disambut dengan segala bunyi-bunyian dan diperjamukan makan dan minum serta bersuka-sukaan beberapa hari lamanya. Tatkala utusan dari Kuripan bermohon untuk pulang, mereka dikurniakan persalinan yang indah-indah, perbekalan dan juga bingkisan.


Kasih sayang dan rasa simpati Ratu Kuripan terhadap Galuh Cendera Kirana merupakan salah satu persoalan yang Cg pilih. Dan persoalan ini pun memerlukan huraian yang jelas. Isi-isi yang boleh diturunkan untuk mengukuhkan persoalan ialah:
  • Ratu Kuripan amat prihatin terhadap keadaan Galuh Cendera Kirana, tunangan puteranya, Raden Inu Kertapati
  • GCK teramat 'susah hatinya' kerana ibunya, permaisuri Ratu Daha, mati keracunan
  • Ratu Daha pula tunduk kepada perintah Paduka Liku, isteri mudanya.
  • Baginda bimbang kehidupan GCK akan 'tersia-sia selama-lamanya'
  • Lalu Ratu Kuripan mengirim patung kencana atau anak-anakan emas yang boleh menjadi 'penghibur-hibur hati' kepada GCK.
Kasih sayang dan rasa simpati RK terhadap RD dan GCK menjadi pendorong utama kepada tindakannya menghantar bingkisan ke Daha.

Kebijaksanaan putera Ratu Kuripan juga digambarkan dengan jelas oleh pengarang. Kebijaksanaannya membolehkan patung kencana yang istimewa sampai ke tangan tunangannya, Galuh Cendera Kirana dan bukan Galuh Ajeng, anak Paduka Liku. Huraiannya boleh berbentuk seperti berikut:
  • Ratu Kuripan menerangkan kepada Raden Inu Kertapati bahawa baginda akan mengirimkan bingkisan berupa anak-anakan emas kepada GCK
  • Raden Inu Kertapati setuju dan dia sendiri yang membuat anak-anakan itu
  • Dia membuat dua patung, satu dibuat daripada emas dan bermata berlian sementara satu lagi dibuat daripada perak dan bermata batu.
  • Setelah siap, patung yang dibuat daripada emas dibungkus dengan  kain buruk dan terikat dengan kain hitam sementara patung yang dibuat daripada perak dibungkus dengan kain sutera dewangga yang indah dan terikat dengan kain sutera merah jambu.
Seperti yang diharapkan oleh RIK, Galuh Ajeng, anak Ratu Daha dengan Paduka Liku memilih bingkisan yang indah sementara bingkisan yang buruk, yang mengandungi patung kencana diberikan kepada Galuh Cendera Kirana.




Patung kencana seperti yang diharapkan akhirnya sampai ke tangan GCK. Tidak dapat dinafikan kejayaan itu bertolak dari kebijaksanaan Raden Inu Kertapati.  Seperti kata hati Mahadewi tatkala melihat patung yang indah yang boleh tersenyum dan tertawa itu, "Pandai sungguh orang yang memperbuat anak-anakan ini."

Akhir kata, apa yang akan menolong kita untuk menjawab soalan dengan tepat dan jelas? Jawapannya mudah. Baca, faham, bincang dan sering-seringlah buat latihan yang diberikan oleh cikgu di kelas. Itu saja.



Monday, June 6, 2011

Sastera Melayu dan kita

Salam untuk semua yang meminati sastera Melayu.

Ini merupakan post Cg yang pertama lewat blog 'Sembang Sastera'. Cg lakar blog ini sedemikian rupa agar dapat memberi panduan tambahan kepada mereka yang baru mempelajari mata pelajaran ini.

Blog ini kelihatannya sarat dengan perkataan tetapi bagaimana nak berbincang tanpa menggunakan perkataan? Jadi anggaplah blog ini sebagai sebuah tambang kecil. Bacalah. Galilah. Mudah-mudahan bertemu dengan butir-butir informasi yang boleh membantu dalam mengukuhkan pemahaman dalam mempelajari pelajaran ini.


Hm ..... Cg juga  mengharapkan komen daripada mereka yang mengikuti blog ini. Mudah-mudahan blog ini menggalakkan interaksi dua hala.

Kata orang dulu-dulu 'yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.' Maksudnya sebagai seorang pelajar kita tentu menginginkan keputusan yang baik di akhir pengajian nanti. Tetapi keputusan yang baik tidak akan terhidang di atas dulang perak dengan mudah buat kita. Cakap mudahnya kita harus menggarap pelajaran ini dengan penuh kebijaksanaan untuk mendapatkan keputusan yang baik.

 
Dan sebelum bersembang ada beberapa perkara yang harus kita laksanakan dulu. Kata orang kita tentukan dulu 'the ground rules'. Ada TIGA peraturan saja yang harus dipatuhi.

Yang pertama kita sudah baca teks. Yang kedua kita sudah baca teks. Dan yang ketiga sama seperti yang kedua-dua tadi. Bolehkan?

Membaca teks sastera ni ada sedikit kelainan daripada baca buku fiksyen walaupun genrenya sama. Membaca teks sastera memerlukan tumpuan yang agak intense kepada aspek-aspek tertentu.  Cakap mudahnya teks sastera perlu difahami dengan sedalam-dalamnya. Fahamilah yang tersurat dan yang tersirat.

Jadi macam mana? ... Mudah ... Bacalah berkali-kali. Dan perhatikan juga insiden yang kritikal. Insiden yang menggerakan perkembangan cerita kerana cerita pada umumnya berkembang atas premis  'sebab - akibat'.

Sebagai langkah awal apa kata kalau kita  'refresh' pengetahuan kita tentang aspek-aspek yang harus kita ambil kira dalam menilai sesuatu karya ... jadi kita semua berada di landasan yang sama. Untuk itu mari kita 'turunmuat' dari ingatan kita. Aspek-aspeknya ialah:
  • Tema dan persoalan
  • Watak dan perwatakan (utama dan sampingan)
  • Plot - struktur dan teknik plot
  • Latar - masa, tempat dan masyarakat
  • Bahasa - diksi, ayat dan bahasa perbandingan
  • Nilai murni dan pengajaran

Mengkaji sebuah karya sastera itu sebenarnya memang menarik kerana yang kita kaji itu adalah ungkapan-ungkapan tentang kehidupan. Kata orang, sastera itu alam, sastera itu kehidupan dan sastera itu harapan.

alam yang menghijau
 
 
 
kehidupan yang saling bergantungan
 
 
 
harapan yang berputik

JK Rowling, pengarang ceritera Harry Potter pernah menukil kata-kata Seneca, seorang ahli falsafah Roman, "As is a tale, so is life: not how long it is, but how good it is, is what matters."  Ringkasnya sebuah cerita tidak dinilai atas panjangnya tetapi atas kesan atau impaknya. Begitu juga kehidupan.

Seperkara lagi yang harus kita perhatikan ialah pendekatan membincangkan atau menjawab sesuatu soalan. Yang sebaiknya ialah
  • Nyatakan isi utama
  • Buat huraian yang jelas
  • Jelaskan contoh-contoh yang relevan
  • Buat rumusan yang mengaitkan huraian dengan isi
    Sebagai permulaan biar Cg yang memberikan imput dahulu. Kita mulakan dengan prosa tradisional 'Patung Kencana Dari Kuripan', dari buku Anak Bumi Tercinta. Cg akan mengulasnya di post yang selanjutnya.

    Sementara itu selamat membaca dan jumpa lagi di post yang lain.