Saturday, April 28, 2012

Ibunda

Salam untuk semua yang mampir terutama sekali kepada tiga gadis manis ... Dillah, Fathin dan Farah.

Apa kata kali ini kita baca sajak Ibunda tulisan Siti Zainon Ismail.  Sekali baca terasa dalamnya makna puisi ini. Begitu 'profound' kata orang lama. Begitu 'cheem' kata orang sekarang.

Memahami puisi Ibunda memerlukan kita membacanya berkali-kali. Pembacaan pertama kita kerut dahi. Pembacaan seterusnya baharulah kita mengerti. Alahai. Begitulah kalau kita membaca sajak yang mencabar minda.

 
Jadi, apa yang ingin disampaikan oleh penyajak melalui sajak Ibunda?  Pada Cg penyajak mengangkat tema kasih sayang seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu itu begitu murni sekali sehingga tiada kasih yang dapat menandingi kemurnian dan kehebatan kasihnya.  Tema ini begitu dominan, hadir dalam kedua-dua rangkap sehingga kita terasa bahawa sajak ini sebenarnya adalah sebuah 'tribute' kepada seorang wanita bernama ibu.


Sekuntum mawar merah buat ibu tercinta
Bagaimanakah imej ibu di mata penyajak? Inilah gambaran yang kita dapat selepas menghayati sajaknya.


1.  Penyajak menganggap ibunya sebagai embun atau titisan air yang turun ke bumi di keheningan malam - "Kau embun yang menitis." Titisan air ini meresap ke segenap urat yang ada di tubuhnya untuk menyegarkan dan membesarkan. Ia merupakan rahmat dari sang pencipta. Titisan air serta mentari yang bersinar membolehkan semua yang bernyawa tumbuh dan berkembang. Penyajak menghidupkan imej ini dengan diksi atau pemilihan perkataan yang sesuai. Dia menggunakan metafora 'embun' sebagai lambang ibu atau kasih ibu. Cg rasa penggunaan metafora ini amat berkesan sekali kerana ia melahirkan gambaran yang begitu hebat tentang ibu.


Titisan embun yang meresap ke urat daun

2.  Ibu memberi kasih yang abadi sifatnya. Dia menunjukkan kasih ini melalui asuhan dan didikan. Ibu mendidik anak-anaknya dengan penuh keikhlasan. Tiada pengorbanannya yang diuar-uarkan. Dia 'bergelar dalam diam.' Asuhan dan didikan yang ibu berikan ibarat 'sungai susu' - mengayakan dan menyuburkan. Ibunya juga mendidik anak-anaknya dengan penuh kelembutan. Kelembutan itu terserlah dalam baris-baris berikut.
 "kerana bahasa cinta
terbit dari lembut jemari bonda
mengasuh kita."

Tugas yang dijalankan ibu begitu agung sekali sehingga alam pun mengakui kemuliaannya - "bumi mencengkam erat kemuliaanmua."  Penggunaan metafora dan personifikasi di atas membantu mengukuhkan gambaran betapa mulianya tugas yang dijalankan ibu.


 
Akar yang mencengkam erat

3.  Ibu tidak pernah meminta pengorbanannya dibalas. Dia membesarkan anak-anaknya dengan penuh rasa tanggungjawab. Sama seperti leluhurnya, dia menghadapi banyak cabaran dalam membesarkan anak-anaknya. Ibu tidak pernah meminta keinginannya dipenuhkan. Begitu rela ibu menjalankan tugasnya sehingga penyajak terdorong untuk menyatakan "cukup sengsara dan rahsia bersatu" di dalam diri ibu. Kemudian penyajak bertanya terbalaskah kita budi dan pengorbanan sehebat ini? Hakikat yang terdapat dalam ungkapan  "yang merelakan kehidupan duga sepanajang zaman" cukup kaya untuk menggambarkan kerelaan ibu dalam menjalankan tanggungjawabnya.


4.  Ibu terlihat sebagai "kolam kesejahteraan" dan "seroja putih kesederhanaan.  Kebahagiaan terdapat dalam dakapan kasih sayang ibu. Ibu penyajak sentiasa mendoakan kejayaan anak-anaknya. Walaupun dia melaksanakan tanggungjawabnya sendirian kerana ketiadaan suaminya, dia tetap cekal dan gigih - "walau tiada tiang harapan lelaki pujaan." Kasih ibu cukup mendamaikan sehingga penyajak terangsang untuk membuat perbandingan kasih ibu dengan kasih Tuhan pada hambanya "kasih sayang abadi, adalah cinta-Nya, di bibir mulia ibunda."



Kolam seroja melambangkan kasih ibu yang mendamaikan
Pada Cg kekuatan sajak ini terletak pada persoalan yang ditimbulkan serta bahasa yang digunakan oleh penyajak. Walaupun di baris-baris tertentu terdapat kesukaran untuk menangkap maksud penyajak, pada keseluruhannya kita memahami luahan perasaan penyajak ini. Penggunaan unsur bahasa seperti metafora, hiperbola, personifikasi dan paradoks menambahkan lagi keindahan sajak ini.
 
 
Cikgu rasa 'tribute' pada Ibunda tidak lengkap tanpa lagu 'Ibu' dari seniman agung kita, P Ramlee.


Enjoy.




1.  Foto diambil dari Google

2. Video diambil dari Youtube (Malaya Screen TV)











6 comments:

  1. Terdapat beberapa isi lain yang boleh dikupas dalam sajak Ibunda yang sunnguh dalam maknanya ini. Antaranya, ibu memberi didikan dan asuhan kepada anaknya. Penyajak menulis tentang "memetik kembang di taman asuhanmu". Secara literal atau jika difahami dari makna yang tersurat, penyajak membawa pembaca kembali ke zaman kecilnya dimana beliau memetik bunga-bunga yang ditanam ibunya. Namun, saya lebih cenderung menafsirkan nukilan tersebut dari maksudnya yang tersirat. Penyajak seakan-akan mendapat sesuatu yang berfaedah (yang dilambangkan oleh "kembang") daripada "taman asuhan" ibunya. Metafora "taman asuhan" yang digunakan penyajak melambangkan didikan dan asuhan ibunya sejak penyajak masih kecil lagi. Oleh itu, boleh diertikan nukilan tersebut dengan pelajaran yang digarap penyajak daripada asuhan serta pengajaran yang diberikan ibunya.

    Fathin :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Suatu pandangan yang berjaya disampaikan dengan cara yang baik sekali. Terasa betapa mulianya tugas seorang ibu.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Salam Cikgu!

    Pertama sekali, ingin saya katakan yang komen Fathin di atas begitu padat dan bernas sekali! Saya rasa kebolehan Fathin untuk membezakan isi yang tersurat dan tersirat begitu penting dalam usaha kami semua untuk menggarap inti pati sajak ini.(:

    Pada pandangan saya, satu lagi isi yang boleh dicungkil dari sajak Ibunda ialah kepentingan menjaga dan mengingati Ibu di hari tuanya. Penyajak seakan-akan cuba memberi teguran lembut kepada mereka yang bergelar anak. Ibu disifatkan sebagai wanita yang menanggung kesunyian "diam seribu kata"(R2B3). Dalam hal ini, saya rasa penyajak ingin menggambarkan keadaan ibunya yang dilanda kesunyian menjelang pendewasaan anak-anaknya. Ibu penyajak terpaksa "menunggu kepulangan anak yang hilang" (R2B2). Ini menunjukkan yang Ibu, di dalam hari tuanya, tidak diendahkan lagi oleh anak-anak yang sibuk mengejar impian masing-masing. Dalam mengharungi kehidupan hari ini yang bergerak dengan begitu pantas sekali, anak-anak cenderung untuk meluangkan masa dengan kerjaya mereka. Akibatnya, mereka tidak lagi dapat menjenguk keadaan Ibu dengan kerap. Penyajak seakan-akan ingin menyentuh hati pembaca dengan menggambarkan keadaan Ibu yang mempunyai "mata keredupan rindu"(R2B1). Saya percaya penyajak mahu menegaskan kepada anak-anak untuk sentiasa mengingati Ibu mereka meskipun dibelenggu oleh jadual masa yang sibuk. Ibu dengan sifatnya yang beitu memahami dan murni itu tidak pun mengadu yang anak-anaknya tidak mementingkannya lagi. Beliau terpaksa bersendirian menanggung rindu terhadap anak-anaknya. "Cukup sengsara"(R2B5) ibu membesarkan kita sesibuk mana sekalipun keadaan beliau. Lantas, penyajak ingin menegur dan menggalak anak-anak supaya sentiasa mengingati dan menjaga Ibu mereka sebaik-baiknya terutamanya setelah mencecah usia dewasa kelak.


    Fadhillah (:

    ReplyDelete