Tuesday, April 17, 2012

Guruku

Dalam post kali ini Cg ingin mengulas sedikit tentang sajak 'Guruku' tulisan Muhammad Hj Salleh. Sebelum itu Cg ingin menurunkan nukilan tentang guru yang dibuat oleh seorang penyair Inggeris yang terkenal iaitu Samuel Johnson. Kata-katanya Cg rasa menjelaskan dengan tepat peranan utama seorang guru.

"Dia yang mengajar kita sesuatu yang kita tidak tahu sebelumnya sewajarnyalah dianggap guru."

Cg amat terkesan dengan nukilan di atas kerana Cg rasa tugas murni seorang guru terungkap dengan jelas di dalam maksudnya. Seorang guru membawa anak didiknya daripada keadaan yang tidak tahu kepada tahu. Cakap mudahnya anak didik dipimpin daripada kejahilan kepada berpengetahuan.

Hakikatnya seorang guru bukan sahaja mengajar tetapi juga mendidik. Tidak ada tentang anak didiknya yang berada di luar perhatian guru. Guru bukan sahaja membantu dalam mengembangkan intelek tetapi juga mengasuh akhlak agar anak didiknya menjadi manusia yang baik budi pekertinya.

Penyair Muhammad Hj Salleh mengambil pandangan yang lebih global tentang guru. Dia  cenderung melihat guru itu dalam berbagai bentuk dan rupa. Tetapi tidak kira apa bentuknya, guru tetap terkait dengan penyebaran ilmu dan pengetahuan.

1.  Pada penyair buku merupakan sumber ilmu kepada manusia. Buku tentang bermacam-macam ilmu ditulis oleh berbagai-bagai penulis. Seorang penulis akan menuangkan pemikirannya ke dalam suatu perkara yang ingin dikembangkannya. Dia menerangkan serta memberikan bukti-bukti yang menyokong atau yang menyanggah perkara yang sedang ditekuninya. Ilmu yang penulis suguhkan kepada dunia lewat buku yang merupakan 'tebal nipis kertas pemikirannya' tidak dapat tidak telah menjadi guru yang mengajar sesuatu kepada manusia.

Berhabuk tetapi tetap sumber ilmu

2.  Tindakan manusia juga menjadi sumber ilmu kepada manusia lain. Kita boleh mengambil pelajaran atau iktibar dalam setiap perlakuan manusia. Penyair memberi contoh pengajaran yang boleh diambil dari peminta sedekah baik yang sabar atau yang pandai berpura-pura. Kesabaran peminta sedekah menimbulkan keinsafan sementara kelicikannya menimbulkan kejengkelan. Perlakuan peminta sedekah berupaya 'menyeret aku ke dunianya'. Melalui peminta sedekah kita sedar betapa getirnya hidup meminta-minta.


Tangan yang meminta-minta
 
Dalam pandangan penyair perbuatan pelajar yang ponteng sekolah serta mahasiswa kejam juga menjadi guru yang berkesan. Mereka menggunakan kepandaian dan imaginasi mereka kepada perkara yang tidak benar. Mereka memikirkan sebab-sebab untuk membenarkan tindakan mereka padahal segala alasan dan rekaan adalah suatu kebohongan sahaja. Mereka mengkhianati harapan yang diletakkan di atas pundak mereka.

"Cabut!" - Siapa tipu siapa?


Pemikir sepi yang menghabiskan usia remajanya dengan merenungkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada manusia juga menjadi guru kita. Banyak rekaan dan penemuan yang ada pada hari ini ialah hasil daripada pemikir-pemikir yang bukan sahaja berfikir tetapi mengambil langkah selanjutnya untuk menjadikan apa yang mereka renungkan satu kenyataan.

 
3.  Musuh yang menunggu kesempatan boleh juga menjadi sumber ilmu. Kita akan sedar bahawa tidak semua manusia senang pada kehadiran dan tindakan kita. Musuh kita akan mengatur langkah untuk menjatuhkan kita. Jadi apakah respons kita kepada sikap dengki dan iri hati ini? Sudah tentu kita akan mengambil sikap yang lebih berhati-hati. Kita sedar bahawa jalan hidup ini tidak sentiasa lurus dan bertaburan kembang. Kadangkala ada onak dan duri.



4.  Sifat ingin tahu juga boleh menjadi sumber ilmu. Sifat yang positif ini akan merangsangkan kita untuk menambah ilmu pengetahuan kita. Menurut penyair anak kecil yang sering bertanya berupaya menjadi pendorong kepada pencarian ilmu. Pertanyaannya akan membuat kita berfikir dengan lebih dalam lagi tentang sesuatu perkara.


 
Menurut penyair manusia belajar daripada bermacam-macam guru. Lewat guru kita meraih ilmu dan pengetahuan. Dan lewat pengalaman yang mengajar, kita meraih kesedaran dan keinsafan. Begitu besar pengaruh guru dalam kehidupan manusia sehingga Henry Adams seorang penulis dan pemikir Amerika yang terkenal terdorong untuk membuat pengakuan berikut:

 
"Seorang guru menjejas suatu kehidupan yang tiada hujungnya. Dia tidak tahu di mana pengaruhnya berakhir." ( A teacher affects eternity: he does not know where his influence ends)

 
Pada pandangan anda adakah guru-guru lain yang menjadi sumber ilmu kita?


 
Foto-foto dari Google




5 comments:

  1. Salam Cikgu,


    Selain faktor-faktor yang telah disebutkan di atas, penyair juga merupakan satu sumber ilmu kepada kaum manusia. Para penyair dapat "mematangkan bangsa" dengan menyampaikan ilmu kepada para pembaca melalui karya yang ditulisnya. Pendekatan ini berupaya memberi kesan yang mendalam terutama sekali jika isu-isu yang ditimbulkan rapat dengan naluri pembacanya. Selain itu, penyair juga dapat menyebarkan pengajaran dan kesedaran tentang salah-silap masyarakat yang menjadi tumpuan penulisannya. Sebagai contoh, dalam sajak Selamat Tidur Pohon-Pohon Hijau karya Marzuki Ali, penyajak menyindir masyarakat di sekelilingnya yang memperkecilkan kesejahteraan alam sekitar demi kelansungan pembangunan yang pesat. Dalam hal ini, kita dapat lihat bagaimana penyajak sengaja menimbulkan masalah yang sedang berlaku di kalangan masyarakatnya, melalui sajaknya. Lantaran itu, kita boleh menggarap makna yang ingin disampaikan dalam sajak Guruku tentang kemampuan penyair untuk mematangkan bangsanya. Penyair dapat menjadi guru kita memamdangkan mereka berkebolehan menyampaikan ilmu dengan cara yang lembut lagi berkesan. Sememangnya karya-karya puitis yang mapan mampu memberikan impak kepada kehidupan kita.


    Fadhillah(:

    ReplyDelete
  2. Muhammad Haji Salleh juga menyebutkan bahawa "kekasih yang sedia memahami keanehan" boleh dijadikan guru kita. Penyajak menggambarkan seorang kekasih sebagai insan yang sanggup melayan karenah orang yang dikasihinya semata-mata kerana cintanya terhadap orang tersebut. Seseorang yang setia meladeni karenah dan keanehan kekasihnya memaparkan sifat penyabar dan pengasih yang patut dicontohi. Sifat-sifat terpuji ini boleh dijadikan pegangan hidup pembaca. Oleh itu, tidak hairanlah jika penyajak menyebutkan kekasih sebagai guru kerana banyak pelajaran dapat digarap hanya melalui cara seorang kekasih itu memahami dan melayan keanehan atau karenah orang yang dicintainya.

    Fathin :)

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Salam Cikgu.

    Penyajak juga mengatakan bahawa pemikir sepi boleh dianggap guru. Bak kata pepatah, bukannya diam ubi berkrat melainkan diam ubi berisi. Diamnya orang berilmu befikir salangkan diam orang yang cetek sia-sia sahaja. Pemikir sepi boleh dijadikan guru kerana beliau tidak menghabiskan masa remajanya dengan kerja lain seperti berfoya-foya dengan teman "meniadakan masa remajanya dengan kerja" . Sebaliknya, beliau memikirkan solusi-solusi untuk berhadapan dengan cabaran sekarang dan yang akan datang. Antara pemikir sepi yang boleh dijadikan guru kita adalah Confucius, Apostle, Sheikh Yusuf Qardhawi dan ramai lagi. Seperti yang dikatakan Confucius, "Silence is the true friend that never betrays." Kadang-kadang, pendirian kita bertentangan dengan pendirian orang lain. Sukar bagi orang untuk menerima pendirian kita. Pemikir sepi tahu bahawa jika mereka menguar-uarkan pendapat mereka pada zaman dahulu, mereka mungkin dibenci. Justeru mereka berfikir dalam senyap, mencabar hipotesis " prima facie " dan berusaha untuk mendatangkan idea-idea baru untuk generasi yang akan datang supaya mereka dapat hidup senang. Pemikir sepi adalah orang yang sudah lama memakan garam sebelum kita :)

    Farah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pandangan yang datang dari perspektif yang matang. Ini juga merupakan ilmu.

      Delete