Friday, September 27, 2013

Sajak ~ Di Luar Diri

Salam Namirah, Khairiah dan Fatin

Cg letakkan tugasan yang perlu dibuat hujung minggu ini di sini. Bacalah sajak Kemala Di Luar Diri sekali lagi dan jawab soalan berikut.


Kemala, melalui sajaknya Di Luar Diri cuba mengingatkan kita agar mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan dalam perhubungan kita sesama manusia. Berjayakah penyair berbuat demikian? Bincangkan.


Pendekatan yang boleh diambil
  • Huraikan dua sudut pandangan yang berbeza
  • Huraikan dua isi yang menunjukkan kejayaan penyair
  • Ketengahkan juga dua isi yang memaparkan keadaan sebaliknya

Mungkin isi-isi berikut boleh dijadikan panduan - sekadar panduan.

Penyair berjaya menyedarkan kita betapa pentingnya dua nilai yang mulia itu dipegang jika kita mahu kesejahteraan dan keamanan wujud di dunia ini.
  • nilai kasih sayang
  • nilai menghargai kedamaian

Yang mengimbau kedamaian
 
Kemudian ketengahkan dua isi yang menunjukkan betapa imbauan ini gagal untuk menyedarkan manusia supaya menerapkan nilai-nilai yang mulia dalam kehidupan mereka
  • Manusia masih berperang
  • Manusia tidak pernah belajar daripada "sejarah hitam" - masih melakukan kekejaman.
Yang melukai dada laut
 


Jangan lupa buat permulaan dan kesimpulan yang ringkas

Selamat membuat tugasan ini.


Catatan: Imej diambil dari Google


 



Thursday, April 4, 2013

Sajak - Membina Peribadi Itu Harus Tegak Pada Paksi Diri

Salam buat Fatin, Khairiah dan Namirah

Platform Pembelajaran E

Kali ini kita manfaatkan blog ini sebagai wahana untuk memacu Pembelajaran E (E Learning)


Tugasan:

1.   Rujuk kepada sajak - 'Membina peribadi itu harus tegak pada paksi diri' tulisan Shafie Abu Bakar.

2.   Berikan respons kamu terhadap soalan-soalan yang diajukan:

a)  Huraikan unsur-unsur yang mempengaruhi pembentukan peribadi dan jelaskan bagaimana unsur-unsur tertentu boleh 'menggoyah peribadi dari paksi'.

b)   Lewat gaya bahasa yang berkesan, penyajak berjaya menyampaikan mesejnya. Sejauh manakah kamu setuju dengan pernyataan ini?

3.   Email Cg jawapan kamu.


4.   Visual Buat Renungan:


Nilai hidup yang sering digempur dan digerogot



Paksi Diri Penentu Arah


Selamat Menjalankan Tugasan Ini



Imej diambil dari

1)  freedigitalphoto.com
2)  remadebyhand.com
3)  sites.google.com



Wednesday, November 7, 2012

Sajak - Kebanjiran


Cikgu pernah terbaca bahawa sajak yang baik harus berupaya melakukan dua perkara: pertama, berjaya menimbulkan imej di minda pembaca dan kedua, berjaya melahirkan emosi di hati pembaca. 

Di samping itu ada juga yang mengatakan bahawa sajak yang baik adalah sajak yang mengetengahkan kebenaran tentang keadaan kemanusiaan sehingga pembaca terkesan dengan keadaan tersebut. (Most memorable poems convey a universal truth about human condition)

Pada pendapat Cikgu, sajak 'Kebanjiran' oleh A Samad Said berjaya memenuhi ketiga-tiga kriteria yang disebutkan.

Terdapat empat kebenaran (universal truth) yang berkaitan dengan kemanusiaan yang berjaya dipaparkan oleh penyajak lewat sajak 'Kebanjiran.'


Yang rendah ditenggelami banjir
 1.  Banjir merupakan suatu fenomena alam yang kini sering berlaku. Banjir yang melanda kadangkala terlalu serius sehingga ada kawasan yang terjejas dengan teruk. Ungkapan "datang air mengamuk liar" menggambarkan betapa ganasnya banjir yang melanda itu.  (r1, b4). Bila keadaan ini berlaku golongan miskin dan papa yang dilanda banjir akan lebih merasakan kesannya kerana mereka selalunya lambat mendapatkan pertolongan. Mereka 'terbiar'. Kenyataan ini kerapkali terbukti benar. Bila 'Taufan Sandy' membadai bahagian timur Amerika Syarikat baru-baru ini,  (New York dan New Jersey) kawasan yang didiami oleh golongan kaya lebih cepat mendapat pertolongan daripada pihak yang berkuasa.


2.  Banjir membawa penderitaan kepada mangsanya terutama sekali golongan miskin. Kerana kemiskinan mereka tinggal di kawasan yang kerap dilanda banjir. Rumah mereka yang buruk, yang  'kopak-kapik' akan tumbang. Ini bermakna mangsa banjir akan kehilangan rumah untuk berteduh. Mereka tidak mempunyai kediaman. Dan tangisan anak serta keluhan nenek akan menambahkan lagi keharuan kepada keadaan yang terpaksa mereka alami.


Yang kopak-kapik dihanyutkan banjir
3.  Mangsa banjir mengharapkan pertolongan dari pihak yang berkuasa. Mangsa banjir yang terdiri dari golongan tidak punyai mengharapkan pengertian dan bantuan dari pemerintah. Mereka tidak memiliki harta yang banyak. Penderitaan mereka akan bertambah bila harta mereka yang sedikit ini dimusnahkan oleh banjir. Mangsa banjir tidak kira apa juga status mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan. Mereka dapat 'membaca' respons pihak berkuasa. Kelambatan bertindak untuk membantu golongan miskin tentu akan menambahkan lagi penderitaan golongan miskin ini.



Yang terpaksa mengharungi banjir
4.  Golongan senang dan mewah yang tidak pernah merasai kesusahan dalam kehidupan mereka sukar memahami penderitaan golongan miskin. Mereka hidup dalam kemewahan. Kekayaan mereka menjadi pendinding kepada kehidupan yang serba kurang. Jadi mereka tidak tahu. Golongan ini diharapkan dapat memahami keadaan. Di samping itu diharapkan juga, mereka  dapat menunjukkan belas ihsan kepada golongan yang malang dengan memberi  pertolongan dengan segera.



Cikgu rasa isu banjir yang diketengahkan oleh penyajak serta kenyataan yang berkaitan dengannya berjaya menyentuh perasaan pembaca. Pembaca dapat membayangkan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir. Justeru, tidak menghairankan, jika di akhir pembacaan sajak ini, pembaca mengharapkan pihak berkuasa mengambil pendekatan yang lebih adil dalam menangani masalah banjir. Semua mangsa banjir harus dibantu, tidak kira dalam golongan mana mereka berada.


Imej di ambil dari:

1. www.climate.met.psu.edu
2. www.guardian.co.uk
3. www.nema.gov.sg





Sunday, November 4, 2012

Sajak 'Diri' oleh Nor Aini Muhammad


Cg rasa penyair ingin menimbulkan beberapa persoalan penting lewat rujukan kepada tubuh manusia.


Pertama, penyair membuat kenyataan tentang hakikat diri manusia. Dari segi zahir, manusia itu tegak kalau berdiri dan bengkok kalau duduk. Manusia itu ibarat mainan kanak-kanak kerana keadaan zahirnya boleh dibentuk oleh posisi yang diambilnya. Ditinjau dari sudut yang lebih dalam, rangkap ini bermaksud bahawa manusia boleh membentuk peribadi yang kukuh kalau dia berdiri teguh di jalan yang benar atau di jalan yang lurus.  Dan  dia akan mempunyai peribadi yang bengkok kalau dia banyak melakukan kemungkaran. Manusia itu boleh dipermainkan atau memainkan manusia lain mengikut kepentingan yang ada pada waktu-waktu tertentu.


Kedua, manusia terdiri daripada tulang temulang dan dedaging pejal. Tulang-temulang itu membentuk kerangka yang memberi bentuk kepada tubuh manusia dan di dalamnya terdapat organ-organ yang menjalankan tugas masing-masing, sesuai dengan fitrahnya. Sama seperti tubuh zahir, manusia juga memerlukan kerangka moral - panduan agar dapat hidup dengan penuh bererti. Panduan ini berupa suruhan dan larangan. Dengan berpandukan kepada panduan ini, manusia membina kekuatan luaran dan dalaman.


Ketiga, manusia juga memiliki unsur-unsur yang abstrak. Unsur-unsur ini dipanggil hidupan seni. Hidupan seni ini tidak berbentuk fizikal tetapi ia wujud di dalam diri manusia. Manusia memiliki hati, jiwa, nafsu, fikiran dan iman. Kelima-lima unsur ini berkaitan dengan perasaan, semangat, keinginan, pemikiran dan keyakinan. Unsur-unsur ini mempengaruhi dan menentukan tindakan manusia. Sama ada manusia akan bertindak seperti insan yang mulia atau sebagai haiwan yang ganas bergantung kepada kuat-lemahnya pengaruh kelima-lima hidupan seninya.


Keempat, manusia tidak akan hidup selama-lamanya. Apabila sampai masanya dia akan mati. Dan pada waktu itu dia akan kembali  kepada bentuk asalnya. Dia akan menjadi debu kuning yang diterbangkan angin atau dia berbaur dengan tanah lalu menjadi tempat yang subur bagi tanam-tanaman. Benih yang tumbuh di atasnya akan menjadi pohon yang rendang yang berbunga wangi. Menyedari hakikat ini penulis menyoal dirinya. Dia bertanya apabila sampai ajalnya nanti, apakah sumbangan yang telah dibuatnya untuk kebaikan kemanusiaan.



Kehidupan dengan segala keindahannya

Secara ringkas mesej penyair ialah:

1. Tubuh manusia itu terdiri daripada unsur jasmani dan rohani lalu manusia harus memerhatikan perkembangan kededua unsur tersebut.

2.  Tubuh manusia perlu kepada kerangka agar dapat mengambil posisi yang diinginkan. Dari segi kerohanian manusia juga perlu pada panduan. Dan keperluan ini harus diperhatikan oleh manusia

3.  Unsur-unsur dalaman sangat berpengaruh dalam menentukan tindakan manusia. Jadi  manusia harus menjaga kesihatan hidupan seni

4.  Kehidupan manusia tidak kekal. Manusia akan mati  dan akan kembali kepada bentuk asalnya. Maka manusia tidak harus angkuh atau memandang rendah kepada manusia lain. Manusia harus berusaha untuk menjadi rahmat kepada kemanusiaan.


Cg rasa sajak ini hasil dari renungan penyair tentang hakikat dirinya dan erti kehidupan yang sebenarnya.




Tuesday, October 30, 2012

Pembelajaran itu sebenarnya dua hala ...

Seorang guru itu tidak senantiasa mengajar. Kadangkala dia belajar.

Saya merasa amat beruntung sekali kerana diberi kesempatan mengajar tiga pelajar manis yang berada di tahun dua di salah sebuah maktab rendah di bahagian tengah Singapura.

Gadis-gadis manis itu bernama Farah, Fadhillah dan Fathin. Dan daripada mereka, saya banyak belajar ...


The fabulous 3 of St. A
 
Saya bertemu mereka pada bulan April 2012 dan sehingga kini masih mempelajari sastera bersama-sama mereka.

Guru dan pelajar-pelajarnya
Bersama-sama kami harungi berbagai-bagai genre sastera - novel, cerpen, sajak dan drama. Apakah tema cerpen ini? Bagaimanakah penulis menghidupkan plot novel ini? Mengapakah penyair sering menyentuh soal-soal kemanusiaan dalam sajak-sajak mereka?

Apa, bagaimana dan mengapa merupakan kata-kata yang kerap kami gunakan dalam memahami sebuah teks sastera. Dengan kata-kata ini kami 'gali sedalam-dalamnya' apa yang kami baca. Ibarat seorang pakar bedah, kami 'bedah' sebuah karya  dalam usaha memahaminya dari pelbagai sudut.

Pembelajaran, yang lebih banyak berupa sesi perbincangan menghidupkan teks yang kami kaji. Pandangan mapan dari seorang guru, pandangan segar dari ketiga-tiga pelajar memberi semacam kesegaran dan kekayaan kepada pemahaman sebuah teks.

Pertembungan dua pandangan mengangkat perbincangan mengenai sesuatu isu ke tahap yang lebih tinggi. Kadang-kadang pandangan kami menemui titik persamaan. Kadang-kadang pandangan kami bertentangan. Persetujuan dan perbedaan inilah yang menjadi 'rencah' yang mengayakan setiap perbincangan kami.

Pada Fathin ada keistimewaan yang cukup menyerlah. Dia mengambil dua mata pelajaran sastera - Sastera Inggeris dan Sastera Melayu. Asuhan daripada dua disiplin yang berbeza ini menjadikan Fathin cukup matang dan yakin bila mengupas sesuatu isu.  Paradigmanya lebih terbuka ... lebih global ... dan nampaknya sudah mula terlihat bibit-bibit yang akan membentuk seorang pelajar yang memiliki 'the global mind.'
 
The colours of life
Kadang-kadang tercetus juga keluhan darinya. Kenapa sastera Melayu kurang bertenaga - kurang 'profound' seperti sastera Inggeris?  Bagaimanakah seorang guru memberi respons kepada persepsi sedalam ini?

Mungkin buat sementara,  komen ini memadai.  Sastera Inggeris mempunyai tradisi yang cukup lama. Dan dari tradisi yang mapan ini lahir nama-nama besar seperti Shakespeare, Mark Twain, John Steinbeck dan Toni Morrison. Dan dari mereka lahir karya-karya yang monumental yang pengaruhnya merentas sempadan dan zaman.

Namun Fathin tetap menghargai sastera bangsanya. Dan lebih dari itu, dia mengerti ...

Farah pula memperlihatkan keunikan yang tersendiri. Pelajar yang pernah mengambil bahagian dalam musabakah Al Quran mendekati sastera dengan sensitiviti agama. Bila sastera bertemu agama yang terhasil ialah keheningan pandangan.

Kelebihan Farah terlihat pada keupayaannya mengaitkan suatu fenomena sosial dengan pengaruh sejarah. Nilai murni yang kian melonggar bertitik-tolak dari era yang lebih liberal dan budaya nampaknya tidak mampu menjadi tembok yang mengekang 'gelombang liberalisme' ini.

Namun Farah tetap yakin dengan kekuatan agama mencari jalan keluarnya.

Merah yang meredupkan
Pada Fadhillah ada kelebihan yang menarik. Dia menggabungkan dua minat - sastera dengan musik. Pelajar jurusan sains ini menjadi peniup saxaphone dalam band maktabnya. 
 
"Kalau hendak deklamasi sajak, suruh Fadhillah, " usik teman-temannya. Mungkin suatu hari nanti Fadhillah dapat mendeklamasikan bait-bait puisi dengan iringan alunan merdu tiupan saxaphone. Kesannya tentu mengharukan. "That would be awesome!"
 
Mudah-mudahan Fadhillah dapat membantu  'Si Uming yang meniup serulingnya' ... yang tidak jemu-jemu mengimbau kedamaian agar sudi menghuni bumi bertuah ini.
 
Kepada ketiga-tiga pelajar, Cikgu doakan, semoga meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan 'A' nanti. Dan ...  teruskanlah pembelajaran ...




 

Thursday, May 10, 2012

Selamat Tidur Pohon-Pohon Hijau


Salam kepada semua.

Penyajak Marzuki Ali nampaknya mempunyai satu misi yang khusus. Dia ingin menjadi 'suara' pohon-pohon yang sedang terancam oleh pemusnahan. Lewat sajaknya 'Selamat Tidur Pohon-Pohon Hijau',  Marzuki Ali cuba menyedarkan dan mendidik manusia tentang pentingnya menjaga alam sekitar terutama sekali hutan-hutannya.

Pohon-pohon hijau
Marzuki Ali tidak sendirian dalam menyuarakan kebimbangan ini. Ada suara lain. Dan di antara suara-suara tersebut adalah suara Putera Charles dari Great Britain (www.treehugger.com)


"Tuan-tuan dan puan-puan. Hutan-hutan dunia perlu dilihat sebagai prasarana global yang menyediakan perhidmatan penting kepada kemanusiaan. Hutan menyimpan karbon yang akan terlepas ke udara apabila kebakaran berlaku. Ini menyebabkan pemanasan global. Hidupan yang ditampung oleh hutan membersihkan atmosfera daripada pencemaran. Hutan berperanan sebagai thermostat yang mengawal suhu dunia. Hutan juga menampung kehidupan sebanyak 1.4 bilion orang yang termiskin di dunia ini.  Semua ini dilakukan oleh hutan dengan cara yang tidak terbayangkan oleh kita..."

Hmm ... nampaknya isu pemusnahan hutan menarik minat berbagai lapisan masyarakat. Dari golongan rakyat jelata  ke golongan diraja!

Jadi persoalan apa yang diketengahkan oleh penyajak lewat sajaknya STPPH? Cikgu rasa ada empat persoalan penting.

1.  Pertembungan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar khususnya hutan-hutan. Pohon-pohon berhadapan dengan pembangunan yang begitu pesat sekali sehingga terpaksa 'menahan diri'. Kawasan hutan dibersihkan dengan berbagai cara demi mencipta lahan untuk pembangunan. Manusia menerangkan kawasan hutan dengan berbagai cara - melalui perusahaan yang terkendalikan atau perusahan yang haram.  Mereka menjalankan pembalakan haram atau dengan cara yang lebih dahsyat lagi iaitu membakar hutan. Dan perkembangan memusnahkan hutan ini menurut penyajak 'kian menjadi-jadi.'

Pembakaran hutan

2.  Manusia yang 'lagi dahaga dengan cita-cita' melaksanakan program pembangunan dengan begitu agresif sekali sehingga bersedia memusnahkan hutan. Di atas nama pembangunan mereka 'siap mengganyangmu'. Mereka membangunkan bangunan-bangunan tinggi - 'menanam pohon-pohon impian dengan baja material'. Bangunan pencakar langit ini menjadi lambang kejayaan cita-cita mereka. Penghuni-penghuni kota ini cukup tegar menukar hutan hijau menjadi hutan konkrit. Dan yang menyedihkan sekali menurut penyajak ialah manusia melakukan pemusnahan hutan ini dengan sewenang-wenangnya. Tanpa ada kekesalan atau rasa bersalah. Satu demi satu, pohon tumbang di kaki keserakahan manusia!

Lahan yang tercipta di atas pemusnahan hutan

3.Terdapat segolongan manusia yang mempamerkan keangkuhan terhadap ciptaan Tuhan sehingga mereka dengan sombongnya  memperkecilkan bulan dan alam. Sikap beginilah yang mendorong pemusnahan hutan secara berleluasa. Golongan ini tidak sedar bahawa pembangunan yang mereka idam-idamkan tidak selalu menjanjikan kebahagiaan.


4.  Makhluk boleh meraih kekuatan melalui perhubungan dengan Tuhan. Penyajak mengimbau pohon-pohon agar mengisi malam mereka dengan zikir. Dengan mengingati Tuhan, mereka akan tenang. 'Malam akan mengulitimu dengan mimpi-mimpi syurga hijau.' Tuhan akan menimbulkan kesedaran kepada segolongan manusia sehingga ada di antara mereka yang terdorong untuk mengambil tindakan mengekang pemusnahan hutan. Kini sudah ada pertubuhan seperti Greenpeace(NGO)  yang bergiat memantau masalah pemusnahan hutan.



Selamatkan Amazon - Greenpeace

 
Apa yang dapat kita ambil dari sajak ini?

Jelas sekali, melalui sajak ini Marzuki Ali ingin menyedarkan manusia tentang peranan mereka dalam usaha melestarikan alam. Dia mengingatkan manusia supaya tahu menghargai sumber alam. Sumber alam itu terbatas dan boleh pupus jika dikuras habis-habisan.


Dia juga mendidik kita lewat sajak ini agar berakhlak baik dengan alam. Manusia diingatkan supaya memanfaatkan sumber alam dengan rasa penuh tanggungjawab.


Dan akhir sekali penyajak ingin mententeramkan keresahan yang ada di jiwa kita. Doanya ialah "moga-moga di bawah rimbunanmu, akan ada insan yang ikhlas, lalu mendoakan usiamu sebelum tua, menghijau alam pada." Itulah juga harapan manusia umumnya.


Panduan yang berharga inilah yang dapat kita ambil dari sajak 'Selamat Tidur Pohon-Pohon Hijau.'





1. Foto-foto diambil dari Google

2. Video 'Amazon Rainforest Deforestation' diambil dari Youtube.





 

Saturday, April 28, 2012

Ibunda

Salam untuk semua yang mampir terutama sekali kepada tiga gadis manis ... Dillah, Fathin dan Farah.

Apa kata kali ini kita baca sajak Ibunda tulisan Siti Zainon Ismail.  Sekali baca terasa dalamnya makna puisi ini. Begitu 'profound' kata orang lama. Begitu 'cheem' kata orang sekarang.

Memahami puisi Ibunda memerlukan kita membacanya berkali-kali. Pembacaan pertama kita kerut dahi. Pembacaan seterusnya baharulah kita mengerti. Alahai. Begitulah kalau kita membaca sajak yang mencabar minda.

 
Jadi, apa yang ingin disampaikan oleh penyajak melalui sajak Ibunda?  Pada Cg penyajak mengangkat tema kasih sayang seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu itu begitu murni sekali sehingga tiada kasih yang dapat menandingi kemurnian dan kehebatan kasihnya.  Tema ini begitu dominan, hadir dalam kedua-dua rangkap sehingga kita terasa bahawa sajak ini sebenarnya adalah sebuah 'tribute' kepada seorang wanita bernama ibu.


Sekuntum mawar merah buat ibu tercinta
Bagaimanakah imej ibu di mata penyajak? Inilah gambaran yang kita dapat selepas menghayati sajaknya.


1.  Penyajak menganggap ibunya sebagai embun atau titisan air yang turun ke bumi di keheningan malam - "Kau embun yang menitis." Titisan air ini meresap ke segenap urat yang ada di tubuhnya untuk menyegarkan dan membesarkan. Ia merupakan rahmat dari sang pencipta. Titisan air serta mentari yang bersinar membolehkan semua yang bernyawa tumbuh dan berkembang. Penyajak menghidupkan imej ini dengan diksi atau pemilihan perkataan yang sesuai. Dia menggunakan metafora 'embun' sebagai lambang ibu atau kasih ibu. Cg rasa penggunaan metafora ini amat berkesan sekali kerana ia melahirkan gambaran yang begitu hebat tentang ibu.


Titisan embun yang meresap ke urat daun

2.  Ibu memberi kasih yang abadi sifatnya. Dia menunjukkan kasih ini melalui asuhan dan didikan. Ibu mendidik anak-anaknya dengan penuh keikhlasan. Tiada pengorbanannya yang diuar-uarkan. Dia 'bergelar dalam diam.' Asuhan dan didikan yang ibu berikan ibarat 'sungai susu' - mengayakan dan menyuburkan. Ibunya juga mendidik anak-anaknya dengan penuh kelembutan. Kelembutan itu terserlah dalam baris-baris berikut.
 "kerana bahasa cinta
terbit dari lembut jemari bonda
mengasuh kita."

Tugas yang dijalankan ibu begitu agung sekali sehingga alam pun mengakui kemuliaannya - "bumi mencengkam erat kemuliaanmua."  Penggunaan metafora dan personifikasi di atas membantu mengukuhkan gambaran betapa mulianya tugas yang dijalankan ibu.


 
Akar yang mencengkam erat

3.  Ibu tidak pernah meminta pengorbanannya dibalas. Dia membesarkan anak-anaknya dengan penuh rasa tanggungjawab. Sama seperti leluhurnya, dia menghadapi banyak cabaran dalam membesarkan anak-anaknya. Ibu tidak pernah meminta keinginannya dipenuhkan. Begitu rela ibu menjalankan tugasnya sehingga penyajak terdorong untuk menyatakan "cukup sengsara dan rahsia bersatu" di dalam diri ibu. Kemudian penyajak bertanya terbalaskah kita budi dan pengorbanan sehebat ini? Hakikat yang terdapat dalam ungkapan  "yang merelakan kehidupan duga sepanajang zaman" cukup kaya untuk menggambarkan kerelaan ibu dalam menjalankan tanggungjawabnya.


4.  Ibu terlihat sebagai "kolam kesejahteraan" dan "seroja putih kesederhanaan.  Kebahagiaan terdapat dalam dakapan kasih sayang ibu. Ibu penyajak sentiasa mendoakan kejayaan anak-anaknya. Walaupun dia melaksanakan tanggungjawabnya sendirian kerana ketiadaan suaminya, dia tetap cekal dan gigih - "walau tiada tiang harapan lelaki pujaan." Kasih ibu cukup mendamaikan sehingga penyajak terangsang untuk membuat perbandingan kasih ibu dengan kasih Tuhan pada hambanya "kasih sayang abadi, adalah cinta-Nya, di bibir mulia ibunda."



Kolam seroja melambangkan kasih ibu yang mendamaikan
Pada Cg kekuatan sajak ini terletak pada persoalan yang ditimbulkan serta bahasa yang digunakan oleh penyajak. Walaupun di baris-baris tertentu terdapat kesukaran untuk menangkap maksud penyajak, pada keseluruhannya kita memahami luahan perasaan penyajak ini. Penggunaan unsur bahasa seperti metafora, hiperbola, personifikasi dan paradoks menambahkan lagi keindahan sajak ini.
 
 
Cikgu rasa 'tribute' pada Ibunda tidak lengkap tanpa lagu 'Ibu' dari seniman agung kita, P Ramlee.


Enjoy.




1.  Foto diambil dari Google

2. Video diambil dari Youtube (Malaya Screen TV)