Tuesday, October 30, 2012

Pembelajaran itu sebenarnya dua hala ...

Seorang guru itu tidak senantiasa mengajar. Kadangkala dia belajar.

Saya merasa amat beruntung sekali kerana diberi kesempatan mengajar tiga pelajar manis yang berada di tahun dua di salah sebuah maktab rendah di bahagian tengah Singapura.

Gadis-gadis manis itu bernama Farah, Fadhillah dan Fathin. Dan daripada mereka, saya banyak belajar ...


The fabulous 3 of St. A
 
Saya bertemu mereka pada bulan April 2012 dan sehingga kini masih mempelajari sastera bersama-sama mereka.

Guru dan pelajar-pelajarnya
Bersama-sama kami harungi berbagai-bagai genre sastera - novel, cerpen, sajak dan drama. Apakah tema cerpen ini? Bagaimanakah penulis menghidupkan plot novel ini? Mengapakah penyair sering menyentuh soal-soal kemanusiaan dalam sajak-sajak mereka?

Apa, bagaimana dan mengapa merupakan kata-kata yang kerap kami gunakan dalam memahami sebuah teks sastera. Dengan kata-kata ini kami 'gali sedalam-dalamnya' apa yang kami baca. Ibarat seorang pakar bedah, kami 'bedah' sebuah karya  dalam usaha memahaminya dari pelbagai sudut.

Pembelajaran, yang lebih banyak berupa sesi perbincangan menghidupkan teks yang kami kaji. Pandangan mapan dari seorang guru, pandangan segar dari ketiga-tiga pelajar memberi semacam kesegaran dan kekayaan kepada pemahaman sebuah teks.

Pertembungan dua pandangan mengangkat perbincangan mengenai sesuatu isu ke tahap yang lebih tinggi. Kadang-kadang pandangan kami menemui titik persamaan. Kadang-kadang pandangan kami bertentangan. Persetujuan dan perbedaan inilah yang menjadi 'rencah' yang mengayakan setiap perbincangan kami.

Pada Fathin ada keistimewaan yang cukup menyerlah. Dia mengambil dua mata pelajaran sastera - Sastera Inggeris dan Sastera Melayu. Asuhan daripada dua disiplin yang berbeza ini menjadikan Fathin cukup matang dan yakin bila mengupas sesuatu isu.  Paradigmanya lebih terbuka ... lebih global ... dan nampaknya sudah mula terlihat bibit-bibit yang akan membentuk seorang pelajar yang memiliki 'the global mind.'
 
The colours of life
Kadang-kadang tercetus juga keluhan darinya. Kenapa sastera Melayu kurang bertenaga - kurang 'profound' seperti sastera Inggeris?  Bagaimanakah seorang guru memberi respons kepada persepsi sedalam ini?

Mungkin buat sementara,  komen ini memadai.  Sastera Inggeris mempunyai tradisi yang cukup lama. Dan dari tradisi yang mapan ini lahir nama-nama besar seperti Shakespeare, Mark Twain, John Steinbeck dan Toni Morrison. Dan dari mereka lahir karya-karya yang monumental yang pengaruhnya merentas sempadan dan zaman.

Namun Fathin tetap menghargai sastera bangsanya. Dan lebih dari itu, dia mengerti ...

Farah pula memperlihatkan keunikan yang tersendiri. Pelajar yang pernah mengambil bahagian dalam musabakah Al Quran mendekati sastera dengan sensitiviti agama. Bila sastera bertemu agama yang terhasil ialah keheningan pandangan.

Kelebihan Farah terlihat pada keupayaannya mengaitkan suatu fenomena sosial dengan pengaruh sejarah. Nilai murni yang kian melonggar bertitik-tolak dari era yang lebih liberal dan budaya nampaknya tidak mampu menjadi tembok yang mengekang 'gelombang liberalisme' ini.

Namun Farah tetap yakin dengan kekuatan agama mencari jalan keluarnya.

Merah yang meredupkan
Pada Fadhillah ada kelebihan yang menarik. Dia menggabungkan dua minat - sastera dengan musik. Pelajar jurusan sains ini menjadi peniup saxaphone dalam band maktabnya. 
 
"Kalau hendak deklamasi sajak, suruh Fadhillah, " usik teman-temannya. Mungkin suatu hari nanti Fadhillah dapat mendeklamasikan bait-bait puisi dengan iringan alunan merdu tiupan saxaphone. Kesannya tentu mengharukan. "That would be awesome!"
 
Mudah-mudahan Fadhillah dapat membantu  'Si Uming yang meniup serulingnya' ... yang tidak jemu-jemu mengimbau kedamaian agar sudi menghuni bumi bertuah ini.
 
Kepada ketiga-tiga pelajar, Cikgu doakan, semoga meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan 'A' nanti. Dan ...  teruskanlah pembelajaran ...




 

2 comments:

  1. Awwww Cikgu you are too nice! :) Cikgu, kami berasa amat amat beruntung dapat diajar oleh Cikgu. Walaupun Cikgu mengajar kami sastera, apa yang kami pelajari lebih daripada hanya setakat mata pelajaran sastera. We learnt about life. Cikgu mendidik kami agar dapat menjadi kebanggaan Ibu bapa dan masyarakat. Dan yang paling penting Cikgu buktikan kepada kami that it is possible to move ahead with the times yet stay rooted in timeless values. Saya pernah terbaca kata-kata Confucius: "A true teacher is one who, keeping the past alive, is able to understand the present." Sungguh tepat kata-kata beliau menggambarkan the one & only Cikgu Kalida :) -Fathin

    ReplyDelete
  2. Awwww Cikgu ! Saya setuju dengan kata-kata Fathin. You came to us like an angel Cikgu. Saya benar-benar hilang harapan terhadap pelajaran sastera. Walaupun saya masih merangkak dalam mata pelajaran ini, saya percaya jika saya benar-benar tekun berusaha, ia akan berhasil juga! Terima Kasih cikgu atas tunjuk ajar cikgu. Saya benar-benar merasai keikhlasan Cikgu mengajar. Cikgu telah memberi saya motivasi untuk mengikut langkah cikgu untuk menjadi seorang guru. Cikgu telah menyala kembali obor saya terhadap pelajaran sejak cikgu hadir dalam hidup saya. Terima Kasih Cikgu. Jasa Cikgu , Allah sahaja yang dapat membalasnya!

    ReplyDelete